Akta 62 dipinda selepas 33 tahun, Ketua Audit Negara kini diberi kuasa lebih luas
Rang Undang-Undang (RUU) Audit (Pindaan) 2024 yang bertujuan meluaskan kuasa Ketua Audit Negara diluluskan di Dewan Rakyat pada Rabu.
RUU bagi meminda Akta Audit 1957 (Akta 62) itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 26 ahli Parlimen dari kerajaan dan blok pembangkang.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, pindaan kepada Akta Audit 1957 (Akta 62) itu penting bagi memperkasa peranan Jabatan Audit Negara untuk membina kepercayaan awam dalam pentadbiran negara dengan menyediakan pengauditan bebas dan objektif terhadap perbelanjaan kerajaan.
“Jabatan Audit Negara memainkan peranan penting dalam rangka kerja tadbir urus yang baik, dengan memastikan aktiviti dan perbelanjaan kerajaan dijalankan dengan bertanggungjawab dan beretika.
“Dengan pindaan ini saya pasti Jabatan Audit Negara akan menjadi sebuah institusi yang lebih kukuh bagi menjadikan negara demokratik yang lebih matang,” katanya.
Melalui pindaan itu yang diluluskan dengan lebih suara bersetuju memberi Ketua Audit Negara lebih kuasa bagi memeriksa, menyiasat dan mengaudit akaun mana-mana badan lain.
BACA LAGI: Kerajaan bakal pinda Akta Perikanan, beri keadilan untuk semua pihak
Jabatan Audit Negara dalam kenyataan susulan perkembangan itu berkata, ia akan memberi impak positif melalui skop pengauditan terhadap pengurusan wang awam.
“Akta Audit 1957 (Akta 62) sedia ada tidak dipinda sejak 1991 (33 tahun yang lepas) dan perlu diperkasakan selaras dengan perkembangan terkini yang menyentuh aspek tatakelola dan pengurusan wang awam,” menurut kenyataan itu.