Anwar

PM Anwar nasihat Bersatu baca Perlembagaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan Bersatu agar ‘membaca perlembagaan’ berikutan keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memutuskan kesemua enam Ahli Parlimen Bersatu kekal sebagai wakil rakyat di kerusi masing-masing.

Anwar berkata, Speaker Dewan Rakyat telah memberikan keseluruhan tafsiran undang-undang dalam memutuskan kedudukan enam Ahli Parlimen tersebut.

Menurutnya, Bersatu seharusnya bertanggungjawab sehingga enam Ahli Parlimen yang sebelum ini menjadi ahli parti itu, kekal dengan kerusi masing-masing walaupun kini menyokong kerajaan.

Beliau menjelaskan semasa akta antilompat parti digubal di Parlimen dahulu, wakil Bersatu sendiri menolak peruntukan mengenai seseorang yang dipecat parti akan kehilangan kerusi.

“Ia ditentang oleh Bersatu ketika (penggubalan akta antilompat parti) ketika itu.

“Sebab itu (Ahli Parlimen yang dipecat Bersatu) dikecualikan.

“Jadi kena baca Perlembagaan,” katanya selepas menghadiri Forum Global Madani di Kuala Lumpur pada Khamis.

Anwar juga mendakwa Bersatu memilih dan memetik hanya bahagian tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan semasa membuat ketetapan membantah keputusan Speaker itu.

Terdahulu, Johari memutuskan enam Ahli Parlimen terbabit tidak perlu mengosongkan kerusi berdasarkan Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik.

Beliau menjelaskan Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu bertentangan dan menafikan hak Zahari, Azizi, Syed Hussin, Iskandar Dzulkarnain dan Dzulkafperi yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Related Articles

Back to top button