Penyertaan Noh Omar ke dalam Bersatu sebagai ‘ubat penenang’ pergolakan parti

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid berkata, penyertaan Tan Sri Noh Omar ke dalam Bersatu berkemungkinan atas jemputan pemimpin parti itu sendiri.
Beliau mendakwa hal itu kerana kepimpinan Bersatu Selangor kini sedang bergolak menjelang pemilihan parti yang dijangka berlangsung tahun ini.
“Selepas dipecat Umno sejak sekian lama, saya tidak menolak kemungkinan ada pimpinan Bersatu mengajak beliau menyertai parti mereka sebagai usaha untuk rejuvenasi Bersatu Selangor yang kini bergolak menjelang pemilihan parti.
“Kita juga mungkin boleh melihat kebarangkalian pertukaran kepimpinan utama dalam barisan pembangkang Selangor yang inginkan nafas baru dan sentuhan pengalaman Noh Omar,” katanya.
Ulasnya lagi, pengalaman dan kepakaran dimiliki bekas pengerusi badan perhubungan Umno Selangor itu diperlukan Bersatu untuk menyusun semula kepimpinan barisan pembangkang.
Terdahulu, Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu mengesahkan penyertaan beliau sebagai ahli parti Bersatu.
Beliau berkata, permohonan menyertai parti itu dibuat secara dalam talian pada 3 Julai lalu.
“Saya pilih Bersatu untuk terus berjuang dalam politik dan marilah kita menaiki kapal baru demi agama, bangsa dan negara,” katanya menerusi video yang dikongsikan kepada media.
Sebelum ini, Noh dipecat daripada Umno disebabkan pelanggaran disiplin parti semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mengulas lanjut, Danial menganggap kehadiran Noh bersama Bersatu mampu mengembalikan kerancakkan ‘perang’ politik di Selangor.
Tambah Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional itu lagi, ‘ketokohan’ Noh dapat menghilangkan kelesuan serta ketandusan idea barisan pembangkang yang dipimpin Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

“Kita mengenali Noh Omar sebagai tokoh politik yang banyak menyumbang dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
“Saya berharap penyertaan beliau akan memberikan lebih warna dalam politik Selangor yang semakin kurang taring di pihak pembangkang.
“Apa pun keadaannya, saya mengucapkan tahniah kepada Bersatu yang menerima penyertaan Tan Sri Noh Omar, mantan Ahli Parlimen Tanjung Karang sebagai ahli,” katanya lagi.