Semasa

Tabika Pra-Tahfiz: 4,145 guru bakal sertai kursus kaedah hafazan mulai bulan ini

Seramai 4,145 guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), akan mula menjalani kursus pendedahan kaedah hafazan al-Quran, mulai bulan ini.

Kursus dilaksanakan secara jangka pendek itu selari usaha kerajaan untuk menjadikan tabika Kemas di seluruh negara sebagai Tabika Pra-Tahfiz KEMAS menjelang tahun 2030.

“Kursus itu akan dijalankan secara berperingkat membabitkan sebanyak 42 siri. Setiap siri kursus itu akan disertai kira-kira 100 guru TABIKA KEMAS.

“Mereka (guru terbabit) akan diajar kaedah-kaedah bacaan, termasuk dalam aspek tajwid dan taranum,” kata Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi

Ahmad Kamal berkata begitu kepada pemberita ketika ditemui pada satu program di Batu Kurau, Perak pada Ahad.

Pra-Tahfiz adalah program memperkasakan pendidikan al-Quran, selain memberi nilai tambah kepada modul sedia ada (Program Penghayatan Islam) di TABIKA KEMAS dalam usaha melahirkan ‘Huffaz Cilik’ yang menguasai hafazan surah-surah dalam juzuk ‘amma (juzuk ke-30) dan surah pilihan.

Program itu turut menjadi antara tumpuan Hala Tuju Strategik (HATS) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2023 dalam Membangun Modal Insan Desa Secara Komprehensif bagi mengukuhkan pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak.

BACA LAGI: Kerajaan sasar Tabika Kemas jadi pra tahfiz menjelang 2030

Melalui Belanjawan 2024 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 13 Oktober tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi pelaksanaan Program Pra-Tahfiz KEMAS

Sementara itu Ahmad Kamal berkata, pihaknya menyasarkan kira-kira 60 peratus murid TABIKA KEMAS akan menguasai sekurang-kurang 20 surah lazim melalui program tersebut.

Related Articles

Back to top button