Malaysia komited capai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu – Menteri
Malaysia komited untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs) serta mengutamakan kesejahteraan rakyatnya, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Nga dalam penyampaian kenyataan negara di Forum Politik Peringkat Tinggi sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, menekankan komitmen Malaysia untuk mempercepat pelaksanaan SDGs melalui pendekatan strategik dan inovatif yang dirancang dan diketuai oleh kementerian berkaitan.
“Matlamat Pembangunan Lestari PBB adalah sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI Malaysia yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan menstruktur semula ekonomi negara.
“Kita mesti mengelakkan jurang antara golongan kaya dan miskin dalam bandar. Kita tidak boleh membenarkan sebahagian bandar kita diduduki oleh golongan miskin dan sebahagian lagi oleh golongan kaya,” katanya dalam kenyataan negara itu yang disediakan kementeriannya.
Forum dua hari bermula pada Selasa bertemakan ‘Memperkukuhkan Agenda 2030 dan Membanteras Kemiskinan Di Tengah-Tengah Pelbagai Krisis’ berperanan sebagai platform untuk menjejaki pelaksanaan dan pencapaian matlamat pembangunan lestari.
Ia disertai 153 ketua negara dan 17 organisasi antarabangsa.
Dalam pada itu, Nga dalam perhimpunan itu turut menyebut tentang matlamat kerajaan di bawah kerangka Ekonomi MADANI untuk memperkasa dan mempercepat transformasi ekonomi negara, mempergiatkan aktiviti perdagangan serta meningkatkan produktiviti.
“Kami berharap untuk mencapai matlamat sifar miskin tegar menjelang 2025,” katanya.
Beliau berkata, sejak Februari tahun lalu, kerajaan telah melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat untuk membantu golongan miskin tegar, golongan miskin dan kumpulan pendapatan rendah untuk menghasilkan pendapatan yang mampan serta tidak hanya bergantung kepada bantuan tunai langsung.
“Kerajaan juga telah mengambil tindakan berani dan luar biasa bulan lepas selepas beberapa dekad dengan mengalih bantuan subsidi bahan api diesel dari pendekatan umum kepada pendekatan bersasar,” katanya.