Kerajaan bakal umum mekanisme terbaik lindungi pesara- Anwar
Kerajaan Perpaduan sedang memperhalusi mekanisme khas berkaitan pencen penjawat awam bagi memastikan hak dan kebajikan golongan pesara terus terjamin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata begitu sebagai mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu yang mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah.
“Kita perlu menghormati keputusan mahkamah tetapi kita mempunyai mekanisme untuk melindungi mereka yang tidak berpencen,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa.
Menurut Anwar, kerajaan akan mengumumkan langkah tersebut dalam tempoh terdekat.
Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun lalu mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah.
Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara menolak rayuan kerajaan dan ketua pengarah JPA untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu.
Hakim Besar Malaya Mohamad Zabidin Mohd Diah ketika menyampaikan keputusan itu berkata Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA), yang membenarkan kenaikan 2% setiap tahun, kurang memihak kepada pesara dan dengan itu melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan (yang memperuntuk perlindungan hak pencen).
Justeru, skim pelarasan pencen lama akan terus digunapakai.