Semasa

Kerajaan MADANI bakal perkasa institusi pendidikan awal kanak-kanak

Kerajaan MADANI bakal memperkasakan institusi pendidikan awal kanak-kanak dengan memfokuskan empat kluster utama iaitu pendaftaran, keselamatan, kesihatan dan kurikulum.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek melalui satu hantaran di laman Facebooknya berkata, pemerkasaan pendidikan awal kanak-kanak salah satu daripada enam ‘task force’ bagi memperkasakan pendidikan negara yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini.

Tambahnya, langkah memperkasa institusi pendidikan awal itu dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas bagi Mengawal Selia Secara Bersepadu Penubuhan dan Operasi Institusi Pendidikan Awal Kanak-kanak bilangan 1 Tahun 2024 dipengerusikan beliau pada Isnin.

“Pertemuan ini turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang serta wakil dari Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perpaduan Negara.

“Ia langkah permulaan penting untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap institusi pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia

“Saya berharap hasil perbincangan ini akan membawa kepada pelaksanaan yang lebih berkesan dan komprehensif dalam mengawal selia institusi pendidikan awal kanak-kanak di seluruh negara,” katanya.

BACA LAGI: Kerajaan sasar Tabika Kemas jadi pra tahfiz menjelang 2030

Sementara itu, Nancy menerusi catatan di Facebook berkata pendidikan awal kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama merentas kementerian.

Justeru usaha perlu ditingkatkan serta diselaraskan bagi memastikan sistem pendidikan yang berkualiti dan kondusif dapat diwujudkan.

Related Articles

Back to top button