Semasa

Muhyiddin wajar minta maaf secara terbuka, tindakan tegas mesti diambil – Puad

Tindakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengheret nama Yang di- Pertuan Agong ke 16 semasa berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini dianggap keterlaluan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zarkashi berkata, pengerusi Perikatan Nasional itu wajar meminta maaf secara terbuka dan tindakan tegas mesti diambil.

“Kini ada 28 aduan polis dibuat terhadapnya. Muhyiddin wajib mohon maaf secara terbuka terlebih dahulu. Sepatutnya dia disiasat segera. Tindakan tegas mesti diambil terhadap Muhyiddin,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Menurut beliau, ucapan Muhyiddin; “Tetapi entah macam mana YDP Agong waktu itu tidak ajak jemput saya ke Istana untuk angkat sumpah” jelas berbaur hasutan.

“Apatah lagi ia dibuat secara terbuka dan dalam kempen politik. Lima hari sudah berlalu. Muhyiddin membisu dan tidak mohon ampun. Sesuaikah dia jadi PM semula?,” soalnya.

Terdahulu, Muhyiddin didakwa menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri di Felda Perasu pada 15 Ogos lalu.

Beliau didakwa berkata, dirinya sudah mendapat 115 sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang membolehkannya diangkat sebagai Perdana Menteri.

Related Articles

Back to top button