Semasa

Draf MoU peruntukan: Pembangkang masih belum beri respon – TPM Fadillah

Komitmen pembangkang untuk menyelesaikan isu peruntukan untuk Ahli Parlimen mereka dipersoalkan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusuf berkata, pembangkang masih tidak memberi sebarang maklum balas berkaitan draf memorandum persefahaman (MoU) peruntukan tersebut walaupun ia telah diserahkan kepada mereka.

“Tanya pembangkang, yang itu (kerajaan) belum dapat lagi, belum dapat respon daripada mereka, jadi tanya pembangkang,” katanya.

Fadillah ditemui selepas hadir di Majlis TVET Competent ST-Energy Transition Catalyst, di Putrajaya pada Isnin.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini mengesahkan sudah mendapat draf MoU itu.

Draf MoU itu jelasnya akan diajukan kepada Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin serta beberapa pimpinan lain untuk membuat keputusan.

Pembangkang sebelum ini sering menggunakan isu peruntukan kepada pembangkang sebagai modal politik bagi mengambarkan seolah-olah kerajaan menindas pembangkang.

Modal itu turut digunakan Presiden Pas dalam satu hantaran Facebooknya minggu lalu bagi mewajarkan gelaran ‘Dajjal’ kepada kerajaan.

“Kerajaan menindas pembangkang dengan menafikan peruntukan kewangan. Sedangkan mereka telah mengambil cukai daripada semua rakyat, termasuk pembangkang.

“Maka, terbukti mereka lebih daripada Dajjal yang tidak memungut cukai,” dakwa bekas duta khas bertaraf menteri itu.

BACA LAGI: Peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak sesulit seperti digambarkan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak seharusnya menjadi isu rumit untuk diselesaikan.

Ia memandangkan syarat ditetapkan kepada mana-mana Ahli Parlimen pembangkang yang mahu memperoleh peruntukan adalah syarat asas dan proses biasa dalam rundingan dan amalan demokrasi.

Related Articles

Back to top button