10,000 tandas awam berjaya dinaik taraf – KPKT
Usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memastikan tandas awam di negara ini sentiasa bersih, berfungsi dengan baik, dan teratur kini mula membuahkan hasil.
Menteri KPKT, Nga Kor Ming, melalui hantaran di laman sosial X pada Selasa memaklumkan sebanyak 10,000 tandas awam telah berjaya dinaik taraf sejak kempen ‘Bersih, Menawan dan Wangi’ (BMW) dilancarkan awal tahun ini.
“Sejak KPKT mengisytiharkan ‘jihad’ terhadap kekotoran dan melancarkan kempen tandas BMW, kami telah bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menaik taraf kebersihan tandas awam.
“Ini termasuklah sekolah, di mana 10,000 tandas awam telah berjaya dinaik taraf,” katanya.
Pada Januari lalu, KPKT mengarahkan semua 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara mewujudkan unit pemantauan kebersihan tandas awam dan melaksanakan kerja penyelenggaraan mengikut jadual.
BACA LAGI: Semua tandas awam milik Wilayah Persekutuan bakal dinaik taraf
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada agenda reformasi kemudahan awam negara yang diusahakan kementerian tersebut.
Nga Kor Ming menegaskan bahawa kebersihan tandas awam berkait rapat dengan imej negara, khususnya di destinasi utama pelancongan atau pintu masuk ke negara ini.
Ia juga sekali gus akan meningkatkan persepsi rakyat terhadap PBT.