Kerajaan tidak akan tangguh pelaksanan pelesenan platform media sosial – Fahmi
Kerajaan tidak berhasrat untuk menangguhkan pelaksanaan kerangka kawal selia untuk melesenkan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang akan dikuatkuasa mulai 1 Januari tahun depan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, pelaksanaan itu tetap akan diteruskan demi memastikan langkah proaktif kerajaan bagi melindungi kepentingan dan keselamatan pengguna tercapai.
“Saya berpendirian bahawa dalam perbincangan saya bersama wakil syarikat (platform media sosial dan pesanan internet) sewaktu bertemu di Singapura (baru-baru ini), mereka menyatakan pandangan positif dan saya kekal dengan pendirian itu.
“Kita tidak akan tangguh,” katanya dalam satu sidang media selepas menghadiri majlis Temu Mesra Masyarakat Kampung Orang Asli Kelinsing, Sepang pada Selasa.
Fahmi yang juga jurucakap bagi kerajaan sebelumnya diminta mengulas surat terbuka yang dihantar oleh Gabungan Internet Asia (AIC) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru bagi menggesa agar kerajaan menangguhkan rancangantersebut.
AIC yang dianggotai Google, Meta, X, Apple Inc, Amazon dan Grab mendakwa langkah pelesenan itu tidak boleh dilaksanakan bagi industri berkenaan serta boleh mengekang inovasi dengan meletak beban tidak wajar terhadap perniagaan.
Sementara itu Fahmi menyifatkan surat berkenaan sebagai pelik kerana isi kandungan surat serta jumlah logo syarikat yang menganggotai AIC sentiasa berubah.
BACA LAGI: Platform media sosial beri respons positif terkait isu perlesenan
“Saya sudah semak. Mereka (AIC) hantar satu surat pada 23 Ogos lepas, diikuti satu surat pindaan pada 26 Ogos dan satu lagi pagi tadi (Selasa). Satu surat yang sama – pertama ada banyak logo, kemudian tinggal enam logo dan terakhir tiada logo, surat pertama kata ‘unworkable’ dan sekarang ini pandangan mereka sudah berubah,” katanya.
Susulan beliau mempelawa AIC untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan pelaksanaan tersebut, kerana kerajaan sentiasa mengambil sikap terbuka.