Negeri

Selangor fokus usaha modenkan sektor pertanian tanaman bernilai tinggi

Kerajaan Negeri Selangor memfokuskan usaha memodenkan sektor pertanian dan tanaman bernilai tinggi.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata usaha itu merupakan sebahagian inisiatif dalam memajukan sektor pertanian negeri sekali gus mempromosikan hasil tempatan.

“Permodenan menjadi kunci pada hasil bernilai tinggi… contohnya di pameran ini kita pamer beberapa produk seperti melon, vanilla planifolia dan ternakan udang kara.

“Ini penting dan menjadi kunci dalam pemodenan, pada masa sama meneruskan produk-produk lain di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dalam memperkasa kemajuan pertanian,” katanya.

Terdahulu Amirudin hadir ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang pada Khamis.

Beliau diringi EXCO Pertanian Ir Izham Hashim sempat meluangkan masa melawat Pavilion Selangor yang menampilkan pelbagai jenis produk pertanian.

Sementara itu Amirudin menggalakkan penduduk yang terlibat dengan kebun komuniti melakukan perubahan daripada tanaman biasa kepada tanaman bernilai tinggi.

BACA LAGI: Selepas jagung bijirin, Selangor intai potensi tanaman vanila

“Kebun komuniti ini merupakan hobi atau aktiviti pertanian bandar yang meringankan beban namun selepas ini mereka mungkin boleh menukarnya kepada tanaman bernilai tinggi.

“Perlu ada tranformasi tetapi mereka perlu bergabung kerana saiz kebun agak kecil. Pertanian bernilai tinggi seperti tanaman vanila tidak memerlukan penjagaan terlalu sukar,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button