Semasa

Belanjawan 2025 fokus selesai isu harga barang, kos sara hidup

Kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesai masalah harga barang dan kos sara hidup menerusi Belanjawan MADANI tahun ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Keadilan: Suara Rakyat, Suara Keramat di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.

“Kita fokus, kita mahu ekonomi kita kuat.

“Sebentar tadi, ketika jamuan bersama HSBC mereka iktiraf, sejak kita ambil alih kerajaan, politiknya stabil, ekonominya melonjak dan ringgitnya kuat.

“Tapi kita tidak angkuh, kita masih tahu ada yang belum selesai. Sebab itu saya kata Belanjawan MADANI tahun ini kita akan sedaya upaya selesai masalah harga barang dan kos sara hidup,” katanya.

Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat dengan tema “Dari Reformasi ke Malaysia MADANI” dianjurkan bagi memperingati detik bermulanya gerakan reformasi 26 tahun lepas.

Antara pengisian perhimpunan dihadiri lebih 10,000 hadiri itu ialah penceritaan sejarah gerakan reformasi, bacaan sajak, teater ringkas dan ucapan pemimpin-pemimpin reformasi.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 10.17 malam itu disambut pemimpin-pemimpin parti.

BACA LAGI: Tempoh masa perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat dilanjutkan 

Tanggal 20 September ialah tarikh keramat buat pejuang reformasi kerana tercetusnya detik kebangkitan rakyat memperjuangkan keadilan susulan penangkapan Anwar yang lantang menentang pemerintah yang didakwa diselubungi rasuah, nepotisme dan kronisme ketika itu.

Menyentuh mengenai tarikh itu Anwar berkata, 20 September memberi banyak peristiwa pahit bukan saja kepada dirinya tetapi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta seluruh keluarga.

Related Articles

Back to top button