ekonomi

Pelaburan AS$6.5 bilion Oracle bukti syarikat dunia yakin pada Malaysia

Keputusan Oracle membuka pusat pengkomputeran awan awam pertamanya di negara ini bukti keyakinan syarikat dunia terhadap potensi Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia juga mencerminkan potensi Malaysia sebagai pintu masuk bagi infrastruktur awan dan menyokong pertumbuhan ekosistem kecerdasan buatan (AI).

“Kejelasan dasar dan pendekatan kerjasama strategik yang dilaksanakan Kerajaan Madani telah berjaya menarik pelaburan daripada syarikat teknologi utama dunia seperti Amazon Web Services, Microsoft, Google dan terkini Oracle.

“Keseluruhan projek yang diumumkan oleh syarikat-syarikat ini sehingga kini melibatkan pelaburan keseluruhan yang dianggarkan bernilai AS$16.9 bilion (RM70.3 bilion),” kata beliau menerusi hantaran di platform X pada Rabu sebagai respon pengumuman Oracle terkait pembukaan pusat awan awam pertamanya di Malaysia dengan pelaburan bernilai AS$6.5 bilion (AS$1=RM4.15).

Oracle menurut laporan media menjelaskan pusat awan yang akan diwujudkan itu membolehkan pelanggan dan rakan kongsinya di Malaysia memanfaatkan infrastruktur dan perkhidmatan AI dan memindahkan beban kerja yang penting kepada “Oracle Cloud Infrastructure” (OCI).

Pelaburan itu akan membantu organisasi di Malaysia memodenkan penggunaan mereka, memindahkan semua jenis beban kerja kepada awan, dan berinovasi dengan data, analitik dan AI, tambah firma teknologi komputer itu

Sementara itu Anwar yang juga Menteri Kewangan menyeru tenaga kerja dan syarikat tempatan merebut peluang sebaiknya daripada pelaburan-pelaburan yang masuk ke Malaysia.

BACA LAGI: Kerajaan fokus jadikan Malaysia destinasi dan hab pelaburan hijau utama serantau

“Dalam beberapa siri perbincangan bersama pelabur termasuk pengurusan tertinggi syarikat-syarikat tersebut, saya tekankan kepentingan perluasan manfaat jangka panjang kepada Malaysia, termasuk pembangunan pusat kecemerlangan, fakulti AI dan pemerkasaan kumpulan masyarakat.

“Saya yakin dengan sokongan semua pihak, matlamat dan sasaran Ekonomi Madani akan dapat dicapai, Insya-ALLAH,” kata beliau.

Related Articles

Back to top button