Semasa

Program TVET akan dipertingkat, jadi pendidikan arus perdana

Usaha untuk menjadikan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pendidikan arus perdana akan dipertingkat dengan kerjasama rakan sinergi dan pihak industri seluruh negara

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk memastikan pendidikan TVET terus berkembang dan relevan, sekaligus mempersiapkan pelajar untuk menyahut cabaran dunia industri yang semakin berkembang dari semasa ke semasa.

“Kita kini dalam usaha bekerjasama dengan rakan sinergi untuk memperkasakan TVET.

“Jadi barangkali ada yang sesuai, ada yang tidak sesuai di peringkat KPM yang itu yang harus kita ambil perhatian dan sebab itu perluasan rakan sinergi ini (penting) untuk kita laksanakan supaya memberikan pengalaman upskilling, reskilling kepada guru-guru kita.

“Ini termasuk tentang keperluan guru kita untuk menguasai ilmu kemahiran di peringkat industri supaya mereka seiring dan dapat menyampaikan pengajaran itu dengan lebih baik dalam membuat persiapan serta persediaan untuk anak-anak murid kita.

“Justeru, kita sentiasa mengalu-alukan pelibatan aktif dari semua peneraju industri untuk penganjuran bersama siri dialog TVET antara KPM dan industri sebagai strategi bersepadu dan merangka masa depan pendidikan TVET yang progresif dan mampan,” katanya.

BACA LAGI: Program KV diperluas, tarik minat pelajar sertai TVET

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal itu sebelumnya mengendali Forum Jaringan Industri Ke Arah Kemampanan TVET KPM di Kolej Vitrox Pulau Pinang, Bandar Cassia pada Jumaat.

Forum yang membincangkan potensi pelajar TVET di bawah KPM melalui jaringan dan kerjasama dengan pihak industri itu menjemput ahli panel terdiri daripada Presiden ViTrox Technologies Sdn Bhd Datuk Chu Jenn Weng, Ahli Lembaga Kehormat MSIA Datuk P’ng Soo Hong dan Pengerusi Technology Depository Agency (TDA) Sim Tze Tsin.

Pada acara itu, Fadhlina turut menyaksikan sesi menandatangani dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara BPLTV KPM bersama sembilan rakan strategik turut diadakan serentak.

Related Articles

Back to top button