PM Anwar hargai sokongan China untuk Malaysia sertai BRICS
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari China, Li Qiang menyaksikan pertukaran dokumen berkaitan Pelan Kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) antara kedua buah negara.
Pertukaran dokumen berkenaan disempurnakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Naib Pengerusi Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Nasional China, Liu Sushe.
Antara lain Pelan itu menyasarkan pembangunan berkualiti tinggi dan kerjasama antara Malaysia dan China menerusi penyelarasan dasar, kesalinghubungan infrastruktur yang lebih baik dan meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan.
Ia turut meliputi kerjasama kewangan yang lebih mendalam serta hubungan yang diperkukuh dalam pelbagai sektor lain seperti pendidikan, sains dan teknologi, media, budaya, pelancongan, kesihatan dan sukan.
Tengku Zafrul pada Julai lepas dilaporkan berkata, keputusan Malaysia untuk mengesahkan penglibatan dalam BRI menjadikannya antara yang pertama di ASEAN berbuat demikian, justeru mengukuhkan lagi perkongsian ekonomi antara Malaysia dan China.
Anwar yang juga Menteri Kewangan kini sedang dalam rangka lawatan kerja ke China hingga 7 November atas jemputan Li bagi menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ketujuh yang diadakan di Shanghai.
Perdana Menteri kemudian dijadualkan ke Beijing hari ini untuk lawatan rasmi termasuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping.
BACA LAGI: Hubungan Malaysia-China sejak pemerintahan Maharaja China dan Sultan Melaka dahulu
Sementara itu pada pertemuan dengan Li Qiang, di The Grand Halls pada Selasa, Anwar menyatakan Malaysia “amat berterima kasih” kepada China yang berada di barisan hadapan dalam menyokong penyertaan Malaysia dalam BRICS, blok ekonomi baharu yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.
“Semuanya berjalan lancar, dan kami telah mengembangkan kerjasama ke semua bidang, termasuk ekonomi, sosial, pendidikan, penyiaran, ketenteraan, dan perlindungan sempadan,” katanya.