Semasa

UPSR dan PT3 sudah tidak releven, kerajaan kekal pemansuhan – Menteri Pendidikan

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak lagi relevan untuk dilaksanakan khususnya dalam menerajui Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Justeru Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kerajaan kekal dengan keputusan pemansuhan UPSR dan PT3 yang dibuat masing-masing pada 2021 serta 2022.

“Saya ambil peluang ini untuk menegaskan bahawa ketika ini, kita tidak akan berpatah balik dengan mengekalkan (keputusan untuk) memansuhkan UPSR dan PT3 kerana ia tidak lagi relevan.

“Apa pun yang berlaku dalam pendidikan harus dikembalikan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar kementeriannya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal sementara itu menjelaskan, penghapusan UPSR dan PT3 tidak bermaksud tiada peperiksaan yang akan menilai prestasi pelajar.

Kementerian Pendidikan akan memperkukuhkan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) sebagai sebahagian daripada konteks pentaksiran supaya menjadi penanda aras kepada ibu bapa untuk mengetahui prestasi pendidikan anak.

BACA LAGI: KPM tingkat advokasi, laksana modul PEERS tangani isu kehamilan dalam kalangan remaja

Sementara sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pula akan diperkukuh kerana ia bersifat lebih holistik dengan merangkumi pentaksiran berorientasikan perkembangan murid secara keseluruhan dengan tidak hanya tertumpu kepada gred dan markah peperiksaan.

“Menerusi perbandingan sistem pentaksiran pendidikan di negara ini dengan beberapa negara serantau serta antarabangsa menunjukkan Malaysia bergerak selari dengan agenda pendidikan global,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button