Semasa

MoT kerjasama dengan NADMA, atur gerak aset kenderaan bantu misi banjir

Kementerian Pengangkutan (MoT) menubuhkan sebuah jawatankuasa petugas khas bagi menyelaraskan misi bantuan banjir.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, berkata jawatankuasa itu yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha MoT akan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyelaras misi bantuan.

“Kabinet telah berbincang untuk mengerah jentera kerajaan membantu mengatasi bencana banjir di Pantai Timur, termasuk Kelantan, yang sangat teruk kali ini.

“Kita bukan sekadar untuk tunjuk muka saja, sebaliknya MoT mengambil langkah proaktif supaya segala keperluan dapat disediakan.

“MoT akan bekerjasama dengan NADMA dari segi penyelarasan jentera dan peralatan agar sumber itu tidak dibazirkan. Justeru, koordinasi adalah penting supaya kita tahu apa keperluan dan akan membuat kerahan mengikut keperluan berkenaan,” katanya.

Beliau sebelumnya menyempurnakan Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI Kementerian Pengangkutan, di Balai Raya Kampung Orang Asli Ngoi-Ngoi, di Seremban pada Sabtu.

Banjir di negeri Kelantan disifatkan sebagai terburuk setakat ini, setakat jam 5 petang semalam kira-kira 90,000 mangsa di negeri itu sudah dipindahkan ke 288 pusat pemindahan sementara (PPS).

BACA LAGI: Seluruh agensi di Selangor siap siaga bantu penduduk – Amirudin

Sementara di Terengganu, Kedah dan Johor terus mencatatkan peningkatan mangsa yang dipindahkan.

Bagi tempoh sama, situasi banjir di Perlis, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor semakin pulih. Manakala di Perak PPS di SK Parit Haji Aman di daerah Kerian ditutup sepenuhnya jam 3 petang setelah keadaan didapati pulih dengan semua mangsa dibenarkan pulang.

Related Articles

Back to top button