Rakyat Negeri Sembilan perlu manfaatkan kemudahan di NADI – Aminudin Harun
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyeru rakyat di negeri itu memanfaatkan sepenuhnya kemudahan disediakan di Pusat Sebaran Nasional (NADI).
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan 62 NADI di seluruh negeri itu sebagai komitmen agensi kerajaan itu dalam menjadikan Negeri Sembilan sebagai negeri pintar yang berupaya melahirkan modal insan berkualiti tinggi.
“Sebagai platform memperkasa komuniti melalui inovasi digital, NADI kini menjadi pemangkin kepada transformasi digital masyarakat.
“Selain berperanan menyediakan capaian Internet di kawasan yang sebelum ini terhad liputannya, NADI juga membuka peluang untuk komuniti mendalami teknologi baharu, meningkatkan kemahiran dan memacu sosioekonomi setempat,” katanya pada majlis perasmian NADI Sikamat di Seremban.
Pada majlis itu, Aminuddin turut memberi penghargaan kepada 45 Sukarelawan ICT Malaysia (MIV) peringkat negeri yang telah melaksanakan pelbagai aktiviti bagi memperkasakan literasi digital komuniti sepanjang tempoh tiga bulan.
Mengulas lanjut, perkhidmatan pintar yang ditawarkan di NADI bukan sahaja menyediakan capaian Internet luas malah memberikan ruang kepada komuniti berinteraksi untuk mendapatkan maklumat terkini dan mengasah potensi diri dalam pelbagai bidang seperti keusahawanan dengan menggunakan teknologi terkini.
“Sebagai contoh, NADI di negeri ini berjaya membimbing lebih 200 usahawan menerusi program perkhidmatan pintar sejak diperkenal pada Julai lepas,” tambahnya.
BACA LAGI: Pelajar mahir digerakkan bantu baik pulih di kawasan terjejas banjir
Sementara itu dipetik laporan media, terdapat 11 NADI baharu yang sedang dibangunkan manakala empat daripadanya telah beroperasi di Sikamat, Bukit Kepayang, Mambau dan Ampangan.
Manakala NADI di Johol, Pilah, Seri Menanti, Rahang, Temiang, Seremban Jaya dan Chuah dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.