Semasa

KPWKM sedia beri kaunseling kepada keluarga mangsa nahas di Ayer Keroh

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia menyalurkan bantuan kaunseling kepada waris dan mangsa kemalangan di KM204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Alor Gajah, Melaka pada Isnin malam.

Kesediaan itu dinyatakan Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad kepada pemberita selepas menghadiri satu acara di Dungun pada Selasa.

“Memang JKM akan turun (bantu), kementerian ingin bantu dari segi kaunseling. Kita ada kaunselor untuk mendampingi mereka dan keluarga.

“Sesungguhnya saya dan seluruh warga KPWKM amat berdukacita dengan kemalangan ini,” katanya.

Kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima itu mengorbankan tujuh termasuk lima sekeluarga, manakala 33 cedera.

Siasatan awal polis mendapati bas persiaran itu terlanggar tayar lori yang tercabut di lorong tengah dan menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan lain.

BACA LAGI: Hampir RM40 juta diperuntukkan untuk bantu mangsa bencana banjir

Ia turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di laman X, beliau meluahkan rasa dukacita atas tragedi itu dan berharap agar keluarga mangsa diberi kesabaran dan ketabahan di waktu sukar ini.

“Mendoakan agar mereka yang terkorban ini diberi keampunan serta dikurnia tempat istimewa di sisi-Nya, insya-ALLAH,” katanya.

Related Articles

Back to top button