Semasa

Kerajaan anjur FEM2025 bulan depan, himpun pemegang taruh pelbagai sektor

Forum Ekonomi Malaysia (FEM2025) akan dianjurkan pada 9 Januari 2025 sebagai platform utama untuk memantau kemajuan inisiatif kerajaan dan merangka keutamaan dan dasar Malaysia bagi tahun 2025.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menerusi satu hantaran di laman Facebooknya berkata, pelbagai topik utama akan dibincangkan pada acara itu termasuklah inovasi dan teknologi, peluang pelaburan di Malaysia, peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dan strategi menghadapi cabaran ekonomi global.

“Dengan Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN pada 2025, “Seizing Malaysia’s Moment” mengiktiraf kekuatan asas negara untuk merebut peluang yang menanti di hadapan,”

“FEM2025 bakal menghimpunkan pemegang taruh dari pelbagai sektor untuk membincangkan isu ini,” kata Ahli Parlimen Pandan itu.

Beliau turut memaklumkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal hadir bagi menyampaikan ucaptama pada acara yang menghimpunkan pemimpin berpengaruh daripada akademia, industri dan kerajaan itu.

Forum sehari itu akan menampilkan penceramah termasuklah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Selain itu, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift turut dijangka hadir.

“Topik terdiri daripada dasar fiskal dan monetari, teknologi hingga pembaharuan pendidikan, setiap panel turut disertai seorang menteri Malaysia.

“Dasar menteri, digabungkan dengan pandangan daripada ahli panel yang pakar, akan mendorong kepada dialog yang dinamik dan mencetuskan idea baharu,” katanya.

Related Articles

Back to top button