Semasa

Bimbang siasatan terburu-buru berhasil pendakwaan lemah

Seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah mengingatkan sebarang usaha menyiasat sesuatu pertuduhan secara terburu-buru berisiko menyebabkan kelemahan dalam pendakwaan.

Razee Rakimin yang juga Ketua Penerangan KEADILAN negeri itu sebagai mengulas gesaan agar SPRM mempercepat siasatan berhubung skandal video mengaitkan beberapa pemimpin negeri itu dengan rasuah.

“Dakwaan terhadap beberapa individu ini terlalu gopoh dan kelihatan lebih kepada bermotifkan politik sehingga SPRM dilihat tiada ruang cukup.

“Akhirnya, kecacatan pendakwaan akibat kekurangan bukti telah menyebabkan individu terlibat dilepaskan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan, satu kumpulan akan mengadakan protes yang antara lain mendesak SPRM mempercepat siasatan terhadap dakwaan beberapa Adun Sabah, termasuk Ketua Menteri Hajiji Noor, terlibat dalam rasuah mengaitkan seorang ahli perniagaan dan lesen penerokaan mineral.

Sementara itu Razeef menegaskan, walaupun isu rasuah di Sabah hangat diperkatakan beberapa bulan kebelakangan ini, ia bukan perkara baru di negeri itu.

Menyifatkan ia sudah berakar dalam kalangan penjawat awam dan ahli politik termasuk dalam pentadbiran sebelum ini, beliau mengakui sukar untuk budaya itu dibenteras.

“Namun perbezaan dapat dilihat adalah di bawah kerajaan Madani, kita tidak berkompromi terhadap individu yang melakukan rasuah serta salah guna kuasa.

“Berbeza dengan pentadbiran kerajaan terdahulu, hari ini semua pihak termasuk ahli politik akan disiasat dan diambil tindakan,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button