Kerjasama tenaga hidrogen Malaysia-Jepun dimuktamad Mei depan

Oleh: Hanim Nadia
PUTRAJAYA: Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Jepun terus dieratkan menerusi kerjasama membangunkan sektor tenaga baharu, hidrogen yang akan dimuktamadkan menjelang Mei depan.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, inisiatif terbaharu itu membabitkan syarikat minyak dan gas milik kerajaan Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dengan kerjasama Petronas.
“Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Abang Openg) telah memberikan jaminan bahawa dengan sokongan Perdana Menteri, Shigeru Ishiba, kerjasama dalam teknologi baharu dan hidrogen ini akan menjadi satu kejayaan.
“InsyaAllah, kami berharap dapat mempercepatkan usaha ini secepat mungkin untuk memenuhi tarikh akhir, mungkin pada bulan Mei, apabila kita bertemu sama ada di Tokyo atau di Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba sempena lawatan rasmi pemimpin berkenaan ke Malaysia di Putrajaya pada Jumaat.
Dalam pada itu, kedua-dua negara juga bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang pendidikan, bagi mempertingkatkan hubungan dua hala ke tahap perkongsian strategik yang menyeluruh.
Antara inisiatif yang dibincangkan antara Anwar dan Shigeru termasuk penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba dari Jepun ke Malaysia.
“Kerjasama lain termasuk perkongsian antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Waseda University, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Japan International Institute of Technology (JIIT).
“Saya (Anwar) juga berharap agar universiti milik Shigeru iaitu Keio University turut serta dalam beberapa program kita, termasuk dalam dialog peradaban kerana terdapat minat untuk berinteraksi antara Islam dan Taoisme,” tambahnya.