Rafizi tempelak tohmahan, sifatkan pembangkang tunggang nama PETRONAS takutkan rakyat

PETALING JAYA: Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli dengan tegas menolak dakwaan bahawa kerajaan merancang untuk menghapuskan monopoli PETRONAS dalam industri gas negara.
Beliau menyifatkan tuduhan tersebut sebagai taktik pembangkang yang tidak berasas dan bertujuan menakutkan rakyat.
Menurut Rafizi, kerajaan kini berada di peringkat akhir memuktamadkan Pelan Hala Tuju Gas Negara yang dijangka dilancarkan tahun ini untuk merancakkan industri gas tempatan.
“Ini bukan soal nak memangsakan PETRONAS, sebaliknya untuk mengurangkan beban yang ditanggung syarikat itu di masa depan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau menjelaskan bahawa sistem akses pihak ketiga (Third Party Access) membolehkan mana-mana syarikat mengimport gas asli cecair (LNG).
Namun, katanya, kekurangan penyertaan menyebabkan PETRONAS masih mendominasi aktiviti pengimportan LNG.
“Situasi ini mewujudkan kebergantungan kepada PETRONAS dan jika harga import lebih tinggi berbanding harga jualan, syarikat itu terpaksa menanggung kerugian,” tambahnya.
Rafizi berkata, pelan hala tuju itu bertujuan menarik lebih banyak pemain industri untuk menyertai perdagangan gas dan seterusnya mengurangkan risiko kerugian kepada PETRONAS.
Katanya lagi, ia juga dapat meningkatkan pendapatan melalui yuran akses dan menjamin bekalan gas dalam jangka panjang.
“Selain itu, kita boleh tarik pelaburan baharu dalam industri gas hiliran,” ujarnya.
Sebagai bekas penerima biasiswa dan kakitangan PETRONAS, Rafizi menegaskan bahawa adalah tidak masuk akal untuk beliau bertindak merugikan syarikat itu.
“Kalau ya pun nak ‘spin’ (putar), jangan lebih-lebih,” katanya sinis, menutup kenyataannya dengan nada tegas.