Rangkaian 5G Malaysia Pacu Digital ASEAN – Penganalisis

PETALING JAYA: Pelaksanaan rangkaian 5G yang pantas di Malaysia terus memperkukuh kedudukan negara sebagai peneraju pembangunan digital serantau, seiring dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang sedang berlangsung 26 dan 27 Mei ini.
Infrastruktur digital berkelajuan tinggi ini adalah hasil inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang membuktikan kesiapsiagaan negara pada peringkat global.
Menurut Penganalisis Politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, setakat Disember 2024, liputan 5G di kawasan berpenduduk telah mencapai 82.4 peratus, menjadikan Malaysia antara negara terpantas di dunia dalam pelaksanaan teknologi berkenaan.
“Inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) juga melebihi sasaran, dengan lebih 9.03 juta premis kini menikmati akses kepada internet berkelajuan tinggi dan gentian optik pada akhir 2024,” katanya.
Beliau menegaskan, kemampanan dan digitalisasi negara kini bergerak seiring dalam mendorong agenda pembangunan digital yang melibatkan 5G, inovasi teknologi dan e-dagang serantau.
“Pelaksanaan digitalisasi ini memberi impak besar kepada aspek keselamatan, komunikasi strategik dan kedudukan geopolitik Malaysia di Asia Tenggara,” tambahnya.
Menurut beliau, infrastruktur digital seperti 5G memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk menghadapi persaingan global dengan lebih tersusun dan berkesan.
MCMC juga meletakkan negara di landasan kukuh untuk mencapai liputan 5G hampir menyeluruh menjelang 2026, dengan peningkatan ketara dari segi penggunaan dan liputan yang meluas.