Nasional

Kerajaan Akan Wajib Had Umur Pengguna Media Sosial – Fahmi

SITIPANG: Malaysia akan mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC) bagi memastikan kanak-kanak bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bertujuan melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh setiap platform benar-benar dikuatkuasakan.

“Saya telah memaklumkan kepada wakil platform media sosial bahawa Malaysia akan mewajibkan proses pengesahan identiti pengguna, terutama bagi memastikan kanak-kanak bawah usia 13 tahun tidak memiliki akaun,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program NADI on Wheels (NOW) di Dewan Undangan Negeri Sindumin, pada Rabu.

Beliau berkata, satu mesyuarat antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan wakil platform media sosial akan diadakan minggu depan sebagai langkah awal ke arah pelaksanaan dasar tersebut.

“Cuma, tempoh pelaksanaannya akan saya laporkan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum diumumkan secara rasmi,” jelasnya.

Selain isu kanak-kanak, Fahmi menjelaskan pelaksanaan eKYC turut penting bagi membanteras penipuan dalam talian dan penyebaran kandungan berbahaya, termasuk iklan palsu serta aktiviti perjudian.

“Banyak platform disalah guna oleh penjenayah untuk tujuan scam. Malah, 78 peratus daripada semua kandungan penipuan yang telah diturunkan datang daripada Facebook,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan melalui MCMC juga menumpukan usaha memperluas capaian digital ke seluruh negara, termasuk melalui inisiatif NADI on Wheels (NOW) dan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.

“Projek SALAM akan menghubungkan Semenanjung, Sarawak dan Sabah, termasuk laluan kabel dasar laut dari Tanjung Aru ke Tawau yang dijangka siap dalam dua hingga tiga tahun,” katanya.

Fahmi turut menegaskan, Kementerian Komunikasi komited memastikan infrastruktur telekomunikasi di Sabah terus diperkukuh melalui proses penyelenggaraan menara komunikasi dan penggunaan sistem jana kuasa hibrid bagi menghadapi bencana banjir.

Related Articles

Back to top button