Kerajaan Madani bagi elaun, cuti tambahan buat ibu bersalin yang bekerja

Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI bersetuju secara prinsip untuk memperkenalkan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) sebagai bantuan kewangan tambahan kepada ibu yang bersalin, bagi tempoh cuti lanjutan sehingga 30 hari selepas tamat cuti bersalin sedia ada.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu bertujuan mengurangkan tekanan yang dihadapi wanita bekerja, khususnya bagi mengelakkan mereka daripada terpaksa meninggalkan pekerjaan susulan komitmen selepas bersalin.
Beliau menjelaskan, elaun berkenaan akan dilaksanakan di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017, tertakluk kepada pindaan akta berkaitan.
“Sebagai langkah progresif, kerajaan bersetuju memperkenalkan EPCB bagi membantu ibu yang memerlukan tempoh tambahan selepas cuti bersalin, tanpa perlu mengorbankan kerjaya mereka.
“Kita mengambil kira situasi semasa di mana terdapat ibu yang terpaksa berhenti kerja kerana kekangan selepas bersalin. Inisiatif ini diharap dapat mengurangkan tekanan tersebut,” katanya.
Menurut beliau, elaun itu akan diberikan secara ‘one-off’ pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan pekerja wanita yang layak.
Inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita di seluruh negara.
Dalam perkembangan sama, kerajaan turut bercadang meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi memperluas perlindungan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura.
Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 480,000 pekerja.
Sementara itu, kerajaan turut mengumumkan beberapa langkah tambahan bagi memperkukuh perlindungan sosial dan kebolehpasaran tenaga kerja, antaranya memperkasa Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dengan dana melebihi RM580 juta bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan.
Selain itu, sebanyak RM100 juta diperuntukkan melalui HRD Corp di bawah program HRD Yakin MADANI untuk memperkukuh latihan dan penempatan pekerjaan, khususnya melibatkan golongan belia dan kumpulan rentan.
Bagi sektor ekonomi gig, kerajaan menyalurkan RM20 juta kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Kemahiran (PTPK) untuk latihan kemahiran pekerja e-hailing dan p-hailing.
Dalam usaha memperkukuh bakat muda serta daya tahan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kerajaan turut menyediakan Geran Padanan Latihan Industri bernilai RM10 juta melalui TalentCorp.
Secara keseluruhan, program khas PACE yang diumumkan kerajaan itu melibatkan peruntukan melebihi RM710 juta.



