KPT akan tangani segera masalah kediaman pelajar di IPT – Zambry
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengenal pasti universiti yang memerlukan penyelesaian berkaitan masalah kediaman pelajar.
Menterinya Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata pihak pengurusan tertinggi KPT bahawa terdapat beberapa universiti yang perlu menyelesaikan masalah itu dengan kadar segera.
Justeru kementeriannya akan berbincang dengan pihak institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara bagi menangani masalah terbabit.
“Saya telah bincang dengan pihak pengurusan tertinggi KPT supaya kita kenal pasti universiti yang perlukan penyelesaian segera (masalah kediaman pelajar). Mereka telah maklumkan kepada saya beberapa universiti yang perlu kesegeraan untuk kita selesaikan masalah itu,” katanya kepada pemberita.
BACA LAGI: Mahasiswa, tenaga pengajar dan pentadbir jadi komponen utama pacu IPT
Zambry sebelumnya melawat Kolej Kediaman Ungku Omar, di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Sabtu.
Pada lawatan itu, beliau turut meluangkan masa mendengar keluhan serta masalah yang dihadapi pelajar berkaitan kediaman di dalam universiti itu.
“Sekarang lebih kurang 7,000 pelajar tinggal di kampus dan jangkaan kita ia boleh ditingkatkan kepada 14,000 kapasiti di sini pada Oktober tahun hadapan, namun saya juga bangkitkan tentang keselesaan pelajar.
“Saya buat tinjauan di beberapa unit yang ada dalam kampus dan bertanya pada pelajar, setakat ni mereka selesa. Nak tambah kapasiti pun kena ambil kira keselesaan mereka,” katanya.