Anwar jawab Tun M, tiada masalah isytihar harta
PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan memintanya supaya tidak mengelak daripada ‘kenyataan sebenar’ tentang aset yang dimiliki oleh beliau dan keluarganya.
Bercakap kepada media ketika hadir Majlis Aidilfiri Madani @Dataran Merdeka anjuran Jabatan Agama Islam (Jawi) pada Sabtu, Anwar mendakwa, umum sememangnya tahu kekayaan yang dimiliki oleh bekas perdana menteri lebih 22 tahun itu.
“(Tun M minta kemukakan bukti?) Dah ada, kalau anak ada pesawat, kapal, dan ada syarikat berbilion-bilion. Nak bukti apa lagi?
“Semua orang tahu. Ini (seperti) menegakkan benang yang basah,” katanya mengulas gesaan bekas Perdana Menteri itu agar Anwar mengemukakan bukti yang didakwa, berpuluh kotak.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menggesa dan mencabar Dr Mahathir mendedahkan segala aset dimiliki diri serta keluarganya.
Mahathir kemudian mencabar Anwar mendedahkan kekayaan dimilikinya ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.
“Saya di antara orang yang mengisytiharkan harta dan dia (Dr Mahathir) yang tidak.
“Baru-baru ini saya isytihar sebanyak RM11 juta, dan itu harga rumah di Segambut.
“Itu bukan lagi rahsia dan diketahui umum,” kata Anwar sambil menegaskan beliau tidak mempunyai masalah untuk mengisytihar hartanya.