Semasa

KKM sasar tempoh lima tahun laksana sepenuhnya transformasi kesihatan digital

Kementerian Kesihatan (KKM) menyasar tempoh empat hingga lima tahun kedepan untuk melaksanakan transformasi kesihatan digital di setiap fasiliti kesihatan seluruh negara.

Menurut menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pelaksanaan transformasi menerusi strategi ‘satu individu satu rekod’ itu akan dimulakan dengan penggunaan rekod perubatan elektronik (EMR) di setiap fasiliti kesihatan terlibat.

“Kementerian sedang mengambil perspektif baharu dalam melaksanakan transformasi tersebut antaranya mewujudkan Bahagian Kesihatan Digital yang akan bertanggungjawab merangka pelan pendigitalan kesihatan secara holistik, bersedia untuk masa depan dan bukti masa depan

“Pendekatan yang akan diambil berteraskan strategi ‘Reform, Relook, Recalibrate dan Realize’, merangkumi aktiviti konsolidasi unit-unit digital di KKM, melihat kembali semua sistem digital di KKM, menetapkan strategi pendigitalan baharu mengikut arus teknologi terkini dan mengimplementasi serta memantau pelaksanaan yang telah dirancang,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata begitu pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa sebagai menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang ingin tahu perkembangan transformasi kesihatan digital yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

Mengulas lanjut Dr Dzulkefly berkata, kerajaan akan melaksanakan kajian pemetaan keseluruhan seni bina kesihatan digital negara serta menambah baik strategi sedia ada bagi memastikan pelaksanaan yang lebih pantas dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan lebih komprehensif dan berkualiti kepada rakyat.

BACA LAGI: KKM perkukuh kerjasama fasiliti kesihatan awam dan swasta

Transformasi kesihatan digital antara fasiliti kerajaan dan swasta juga jelasnya merupakan tumpuan KKM dalam meningkatkan aksesibiliti, keselamatan dan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan.

“Pelaksanaan inisiatif ini mustahak untuk dicapai kerana ia dapat memastikan kejituan penjagaan pesakit yang mempunyai beberapa ciri seperti bersifat kos yang rendah, selain turut membolehkan KKM membuat analisis data besar berkenaan kesihatan digital,” tambah Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Related Articles

Back to top button