ekonomi

Subsidi Bersasar: Pengurangan subsidi akan dilaksana secara berperingkat – Rafizi

Kerajaan akan tetap melaksana pengurangan subsidi petrol tahun ini, bagi memastikan usaha mengecilkan fiskal negara dapat dicapai.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dipetik laporan media berkata, pengurangan subsidi akan dilaksana secara berperingkat dengan risiko inflasi meningkat sebelum rancangan itu dilaksanakan.

“Kita berada pada landasan yang tepat untuk memberi bantuan bersasar kepada golongan yang memerlukan. Kerajaan tetap akan melaksanakannya (rasionalisasi subsidi petrol).

“Untuk mencapai sasaran fiskal 4.3 peratus, garis masa yang ditetapkan perlu dipatuhi,” kata dipetik Bloomberg.

Sebelum ini, firma penyelidik menjangkakan proses dan tempoh masa rasionalisasi subsidi dijangka dilaksanakan secara berperingkat, mengambil isyarat daripada sasaran kerajaan untuk mengurangkan subsidi bahan api sebanyak RM6 bilion pada 2024 berbanding rekod tertinggi subsidi RON95 dan diesel berjumlah RM41.75 bilion pada 2022.

Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini mendedahkan inflasi keseluruhan pada 2024 dijangka berada antara dua peratus dan 3.5 peratus selepas mengambil kira potensi kenaikan disebabkan oleh rasionalisasi subsidi terutamanya petrol.

Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour pada pada sidang media Laporan Tahunan 2023, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2023 berkata, walaupun rasionalisasi subsidi mungkin memberikan implikasi jangka pendek terhadap pertumbuhan dan inflasi, strategi pelaksanaan yang dirancang dan dilaksanakan dengan baik bersama-sama dengan bantuan tunai bersasar akan membantu mengurangkan kesan tersebut.

BACA LAGI: Pelaksanaan subsidi bersasar akan pastikan 85 peratus rakyat dapat faedah

Sementara itu menurut Rafizi, kerajaan mengambil masa untuk melaksanakan program subsidi bersasar bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

“Adalah dijangkakan akan ada ketidakpuasan dan masalah sebaik ia dilaksanakan, tetapi kerajaan tidak mampu kepada pusingan ‘U’ apabila ia dilaksanakan.

“Setahun lalu saya bercakap mengenai perkara ini. Saya tahu penganalisis di luar sana bertanya kenapa mengambil masa lama (melaksanakannya). (Ia) sebab kita melihat ia dilaksanakan di negara lain.

“Urutan penting dengan memastikan semua perkara sedia dan cuba rapatkan kelompongan sebaik mungkin,” kata Rafizi dipetik laporan tersebut.

Related Articles

Back to top button