PM Anwar ingatkan anggota KEADILAN tidak lalai dengan ‘kuasa’ setelah jadi pemerintah
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua anggota parti terutama generasi muda supaya menghayati perjuangan parti dan tidak alpa dengan ‘kuasa’ yang dimiliki apabila menjadi pemerintah.
Beliau berkata, bakat pemimpin muda perlu digilap dan bersedia untuk meneruskan perjuangan KEADILAN kerana ramai individu yang mengasaskan parti itu termasuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta rakan-rakannya semakin berusia dan ada antara mereka sudah uzur.
Kata Anwar, generasi muda tidak harus melupakan dasar perjuangan parti selama 25 tahun sejak penubuhan KEADILAN.
“Mereka ini berjuang tanpa habuan, tanpa kedudukan tapi semata-mata demi pengorbanan. Saya harap generasi baharu tidak akan melupakan jasa mereka.
“Sepertimana saya selalu sebut, kuasa itu mampu memukau, kuasa itu suatu yang gemerlapan. Maka ingat tentang asas perjuangan, jangan guna kuasa untuk menimbun harta, jangan guna kuasa untuk hilangkan idealisme bahawa kita pegang amanah untuk melakukan perubahan,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan 25 Tahun KEADILAN di Depot Sentul pada Sabtu.
Turut hadir Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli, Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Penerangan KEADILAN, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek dan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Adam Adli Abd Halim.
Acara itu turut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Ketua Whip Parti Gabungan Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Sebelum tu pada program yang sama, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, KEADILAN dijangka akan kekal relevan dan terus diterima rakyat kerana parti itu mewakili semua kaum tanpa meminggirkan mana-mana suara, meliputi semua lapisan masyarakat.
Beliau juga mahu identiti KEADILAN terus dipertahankan oleh jentera parti.
“Kenapa parti KEADILAN releven? Kerana parti ini yang mewakili semua kaum.
“Ia akan menjadi benteng pertahanan utama sekirannya Malaysia menerima tekanan, maka kita mahu jelas dengan jati diri kita,” katanya.