Hannah mahu Faisal pulih sepenuhnya sebelum kembali beraksi
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu memastikan pemain Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim atau Faisal Halim pulih sepenuhnya sebelum kembali beraksi.
Beliau yang ditemui pemberita dalam satu acara di Kuala Lumpur pada Khamis mengakui Faisal sememangnya mempunyai tekad yang tinggi untuk kembali beraksi namun menasihatkan pemain skuad Harimau Malaya itu tidak terlalu terburu-buru kembali ke padang.
“Saya nak pastikan beliau ambil masa dan pastikan betul-betul pulih sebelum keluar bermain kerana saya rasa bola sepak akan menunggu Faisal.
“Saya harap beliau jangan tergesa-gesa, pastikan beliau sembuh sepenuhnya kerana bola sepak perlukan beliau,” katanya.
BACA LAGI: Faisal Halim mahu segera pulih, rindu main bola
Faisal dilaporkan mengalami kelecuran tahap empat akibat disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei lepas.
Beliau ketika membuat penampilan pertama di khalayak umum selepas insidin itu semalam menyatakan rasa rindu untuk beraksi.
Bagaimanapun Penjaring Gol Terbaik Piala Asia itu turut mengakui perlu menumpukan kepada proses pemulihan terlebih dahulu.