PM Anwar dedah rancangan Dr Mahathir, Mahiaddin untuk haramkan Umno
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Mahiaddin Yassin merancang mengharamkan Umno ketika berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau berkata, Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menjadi sasaran serangan lawan kerana mengetahui perancangan untuk mengharamkan parti itu sebelum ini.
Katanya, strategi pembangkang ketika ini hanya menyerang Ahmad Zahid tanpa mengusik Umno kerana mahu mendapatkan undi ahli parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Saya cerita pengalaman bagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Mahiaddin Yassin pakat untuk haramkan Umno, saya ke rumah Muhyiddin, memang tegang. Saya lawan Umno masa itu, tetapi saya tak setuju haramkan Umno.
“Umno ada sejarah sendiri, sejarah perjuangan kebangsaan, ini parti ibu bapa saya. Saya beza pendapat, tapi haramkan itu bukan penyelesaian. Kita tak boleh padam sejarah, alasan apa nak haramkan?
“Kalau dalam politik kita lawan, dia (Mahiaddin) kata tak boleh, keputusan sudah dibuat (untuk haramkan Umno). Saya bercakap dengan Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng ketika itu, kami tak setuju dan tak bersama (dalam keputusan itu),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Pekan Guar Chempedak, malam tadi.
Hadir sama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Berikutan itu, Anwar mempersoalkan sama ada ahli Umno sanggup mengundi Bersatu yang sebelum ini pernah merancang usaha mengharamkan parti itu.
“Saya nak beritahu orang Umno yang goyang sekarang ini. Sanggupkah kamu beri dukungan kepada parti sebaik dia (Mahiaddin) berkuasa akan mengharamkan parti keramat kamu?
“Apa jenis manusia yang boleh khianat amanah? Dia marah Zahid pasal apa? Sebab Zahid mengambil pendirian yang tegas kerana dia tahu sejarah ini.
“Pilihan masa itu apa? Pas, Bersatu minta bersama dengan Umno, masa dia lemah minta pertolongan Umno. Andai kata dia kuat, Umno memang nak diharamkan kerana Bersatu daripada awal ditubuhkan untuk menggantikan Umno,” katanya.
Berikutan itu, Anwar tidak faham mengapa terdapat ahli parti Umno yang begitu membenci Ahmad Zahid ketika ini.
“Saya bukan ahli Umno, tapi saya tidak boleh faham apa politik sampai begini. Beza pendapat dengan Datuk Seri Zahid tidak mengapa, nak kritik boleh. Tapi salah dia apa?
“Kerana dia bersama Kerajaan Perpaduan? Salah dia apa? Konon kerana dia gadai prinsip kepada DAP?” katanya.