Parlimen

KKM peruntukkan RM137 juta setahun, selenggara 201 klinik kesihatan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membelanjakan sebanyak RM137 juta setahun bagi menyelenggara 201 buah klinik kesihatan di seluruh negara.

Kementerian itu melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu berkata, perbelanjaan itu disalurkan di bawah Perkhidmatan Sokongan Klinik (PSK) dengan kontrak selama lima tahun bermula tahun 2022.

“PSK adalah program penyelenggaraan bukan komprehensif melibatkan perkhidmatan penyelenggaraan kemudahan kejuruteraan dan perkhidmatan pembersihan.

“Bagi tempoh lima tahun kebelakangan ini, sebanyak 65 buah klinik kesihatan telah siap dibina dengan kos projek berjumlah RM1,156,572,795 dan sudah memulakan operasi bagi memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” kata jawapan itu.

Ia sebagai menjawab soalan dikemuka Senator Dr Lingeshwaran R. Arunasalam yang ingin tahu anggaran kos untuk membina dan menyelenggara dalam setahun untuk satu klinik kesihatan, jumlah peruntukan yang dibelanjakan lima tahun kebelakangan ini serta cadangan untuk penyumberluaran perkhidmatan klinik kesihatan sebagai satu langkah yang lebih kos efektif.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Senator Datin Ros Suryati Alang yang ingin tahu persiapan menghadapi sebarang ancaman pandemik dan perkembangan terkini penghasilan vaksin buatan tempatan, KKM berkata kementeriannya sedang melaksanakan pelbagai langkah kesiapsiagaan.

“Antaranya, membina Pusat Kawalan Penyakit Negara yang setaraf dengan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat dan negara-negara lain.

BACA LAGI: KKM komited pastikan pindaan RUU Perubatan dikuatkuasa segera

“Projek ini telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Rolling Plan 4 (2019-2020) Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dengan kos keseluruhan sebanyak RM500 juta yang akan dibina di atas tapak seluas 20 ekar di Bandar Enstek, Negeri Sembilan,” kata kementerian itu.

Selain itu menurut KKM, pihaknya turut melaksanakan penambahbaikan berterusan dalam prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan berkaitan kesiapsiagaan dan respon terhadap pandemik di semua peringkat.

Related Articles

Back to top button