Semasa

KDN teliti semula undang-undang, tingkat kempen keselamatan jalan raya

Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia untuk menjalankan penelitian semula terhadap peruntukan undang-undang dalam usaha mengurangkan jumlah kemalangan membabitkan penunggang motosikal di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismai berkata begitu sebagai mengulas pertemuan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang turut membincangkan kebimbangan kemalangan membabitkan penunggang.

“Mereka membincangkan soal kadar kemalangan tinggi membabitkan penunggang motosikal dan saya sebelum ini juga pernah bertemu beliau (Lam Thye) bukan sahaja soal keselamatan jalan raya tetapi membincangkan isu-isu kepolisian.

“Jadi, dalam hal ini KDN akan melihat kembali semua peruntukan undang-undang yang selama ini kita gunapakai.

“Kita juga akan tingkatkan aspek penguatkuasaan dalam memberikan kesedaran kepada orang ramai,” katanya pada Majlis Sua Mesra Bersama KDN di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.

Perdana Menteri melalui satu hantaran di laman Facebooknya minggu ini menzahirkan kebimbangan terhadap kadar kemalangan tinggi mencapai 600,000 kes sepanjang tahun lalu yang kebanyakkannya melibatkan pengguna motosikal.

BACA LAGI: PM bimbang peningkatan kes kemalangan, arah perluas kempen keselamatan jalan raya

Justeru beliau telah mengarahkan supaya kempen kesedaran keselamatan jalan raya diperluas.

Sementara itu menurut Saifuddin, berdasarkan rekod anggaran keseluruhan saman yang dikeluarkan setakat ini mencecah nilai kompaun berjumlah RM2.18 bilion.

“Jika nilai saman ini dijadikan indikator, ia membuktikan jumlah saman yang dikeluarkan memang tinggi, tetapi pada masa yang sama, kadar kemalangan motosikal juga bertambah.

“Oleh itu, kita akan pertingkatkan kempen keselamatan jalan raya di peringkat sekolah, akademik dan komuniti,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button