Semasa

PM bimbang peningkatan kes kemalangan, arah perluas kempen keselamatan jalan raya

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan supaya kempen kesedaran keselamatan jalan raya diperluas.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, penegasan itu dinyatakan perdana menteri pada mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan semalam susulan pertemuan beliau dengan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye sehari sebelumnya.

“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Perdana Menteri membangkitka pertemuan beliau dengan Lam Thye.

“Jumlah kemalangan jalan raya tahun lalu mencecah 600,000 kes. Paling tinggi dicatatkan, membabitkan pengguna motosikal terutama yang berusia 18 hingga 35 tahun.

“Oleh itu Perdana Menteri memberi penegasan bahawa kempen kesedaran perlu dilipat ganda dan diperluaskan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya.

Terdahulu Anwar melalui satu hantaran di laman Facebooknya menzahirkan kebimbangan terhadap kadar kemalangan tinggi dalam kalangan pengguna motosikal.

BACA LAGI: Tiga kementerian jalin kerjasama laksana kerja selenggara jalan raya rosak

Kadar kemalangan yang tinggi itu jelasnya berkaitan dengan kelemahan penguatkuasaan undang-undang selain isu penyelenggaraan jalan raya.

Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri mengingatkan kepada ibu bapa yang mempunyai anak berusia 16 tahun ke atas supaya sentiasa memastikan anak mereka berwaspada ketika menunggang atau membonceng motosikal.

Related Articles

Back to top button