Pilihanraya

PRK Mahkota jadi medan rakyat terjemah sokongan kepada pentadbiran Anwar

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kemenangan calon blok perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota telah membuktikan penerimaan rakyat kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kejayaan itu akan menjadi pemangkin untuk pihaknya memperbaiki hala tuju perjuangan dan seterusnya mencipta lebih banyak perpaduan bersama Kerajaan Perpaduan.

“Terima kasih juga kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memberi sokongan moral dan saya percaya kejayaan ini menandakan penerimaan rakyat kepada tadbir urus dan kepimpinan beliau.

“Kemenangan di (PRK DUN) Nenggiri dan Mahkota bukanlah asbab untuk kami mendabik dada, jauh sekali untuk berasa megah dan selesa. Sebaliknya, ia adalah isyarat yang jelas dari rakyat bahawa kami harus berusaha lebih kuat untuk memberikan yang terbaik demi kehidupan yang lebih sempurna di masa akan datang.

“Insya-Allah, kami akan terus memperbaiki haluan perjuangan ini, menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan untuk UMNO dan BN, serta Kerajaan Perpaduan dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera BN termasuk rakan komponen Kerajaan Perpaduan yang turut sama membantu berkempen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Syed Hussien Syed Abdullah yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang menang dengan majoriti 20,648 undi

Jumlah majoriti itu meningkat empat kali ganda berbanding dicatatkan parti di kerusi sama pada Pilihan raya Negeri 2022.

BACA LAGI: Kerajaan pimpinan PM Anwar tak akan goyah sekalipun PN usul undi tak percaya – Zahid

Sementara itu Ahmad Zahid melalui kenyataan sama mengingatkan Syed Hussien bahawa kemenangan itu hadir bersama amanah yang berat dan tidak boleh diabaikan.

“Buat anakanda Syed Hussien, ingatlah bahawa budi mesti dibalas, kata perlu dikota, janji wajib ditepati. Buatlah terbaik untuk #MahkotaKita ” tegasnya.

Related Articles

Back to top button