Politik

Tersasar jauh, akar umbi Bersatu diseru teruskan perjuangan bersama parti lain

Perjuangan asal parti Bersatu telah tersasar dan kini terikut-ikut sikap ekstrem rakan gabungan Perikatan Nasional (PN)-nya Pas, dakwa Dr Muhammad Faiz Na’aman.

Muhammad Faiz yang juga bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu melalui kenyataan pada Ahad berkata, majoriti rakyat menolak menolak politik 2R (kaum dan agama) yang dimainkan pemimpin PN.

Ia jelasnya terbukti apabila calon Bersatu di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri dan PRK Mahkota mengalami kekalahan memalukan dengan jumlah majoriti sangat besar.

“Imej dan reputasi Bersatu telah dinoda oleh mentaliti jumud dan ekstrem Pas yang modal mereka ialah menunggang agama.

“Malah Bersatu dengan terdesaknya telah menerima watak-watak ekstrem yang dibuang atau terbuang dari UMNO dan KEADILAN untuk berperang di media sosial dan pentas ceramah.

“Selama 24 jam kelompok ekstrem dalam Bersatu-PN menabur pelbagai fitnah, syak wasangka, paranoia dan provokasi sentimen 2R untuk mewujudkan situasi emosional kelompok Melayu-Islam, seolah-olah negara ini huru-hara dan tiada Ketua Agama Islam dan kerajaan yang menjaga hak setiap rakyat mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Provokator ini sudah buntu idea apabila ekonomi negara makin mantap di bawah Kerajaan Madani yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya.

Sabtu lalu, calon mewakili blok Kerajaan Perpaduan, Syed Hussien Syed Abdullah memperoleh kemenangan bergaya pada PRK DUN Mahkota apabila meraih majoriti besar 20,648 undi, jauh meninggalkan pencabar daripada PN, Mohamad Haizan Jaafar.

Ia merupakan kesinambungan dari keputusan PRK Nenggiri yang menyaksikan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili blok Kerajaan Perpaduan menewaskan pencabarnya daripada Bersatu yang mewakili PN, Mohd Rizwadi Ismail sekaligus merampas kerusi itu dari Pas.

BACA LAGI: PRK Mahkota: rakyat jemu dengan pendekatan politik ‘syok sendiri’ pembangkang

Sementara itu Muhammad Faiz melalui kenyataannya menyeru pengasas, akar umbi dan pejuang tulen dalam Bersatu agar meninggalkan parti itu.

Mereka ujarnya boleh menyertai parti lain dalam PH untuk meneruskan agenda Reformasi, pembaharuan, kemajuan dan memperjuangkan integriti tanpa perlu memainkan sentimen kaum dan agama yang memecah-belahkan masyarakat.

Related Articles

Back to top button