Nasib bekas pelumba negara terbela selepas 10 tahun
Kesukaran hidup ditempuhi bekas pelumba negara, Muhamad Zamri Baba sejak 10 tahun lalu akhirnya terbela.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim mengumumkan beberapa bentuk bantuan kepada Zamri menerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).
Jelasnya mulai Disember ini, yayasan itu akan menghulurkan bantuan kewangan RM300 setiap bulan selama enam bulan untuk memudahkan urusannya memperoleh rawatan susulan.
Zamri juga akan mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang berbanding Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum ini yang jaraknya agak jauh dari rumahnya.
“Sebelum ini, dia tidak meneruskan rawatan kerana jarak rumahnya agak jauh dengan HKL. Mungkin juga dia berasa tidak selesa dan itu antara perkara yang menghalang keluarganya untuk meneruskan rawatan.
“Yakeb akan memberikan bantuan lain seperti lampin pakai buang sepanjang masa.
“Untuk bantuan lain, memandangkan ia membabitkan agensi lain, kami akan sampaikan kepada pihak berkenaan seperti JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat),” katanya ketika menziarahi Zamri di kediamannya di Klang pada Selasa.
Sebagai rekod, Zamri pernah beraksi menerusi tiket wildcard di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dekat Grand Prix (GP) Malaysia serta tampil pada musim penuh di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).
Kehidupan bekas pelumba berusia 41 tahun itu berubah 360 darjah selepas terbabit dengan kemalangan ngeri pada perlumbaan pusingan dua ARRC di Litar Sentul, Indonesia pada Jun 2015.
Sejak itu, isterinya, Fazlina, 41 mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga mencari rezeki untuk suami serta dua anak mereka, Muhammad Haiqal, 15, dan Muhammad Farish, 11.
BACA LAGI: PM Anwar sokong pembangunan e-sukan, mahu lihat lebih banyak pasukan cipta kejayaan
Selain bantuan diumumkan Adam Adli, Yakeb berkata pihaknya akan mendaftarkan nama Zamri untuk membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selama dua tahun bagi melayakkannya mendapatkan pencen ilat atau bantuan perubatan daripada Perkeso.
Manakala difahamkan, pihak wakil Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga telah hadir ke rumah Zamri untuk menguruskan bantuan yang boleh diberikan.