Politik

Video skandal: KEADILAN Sabah gesa semua pihak beri kerjasama kepada siasatan

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Negeri Sabah memandang serius isu video dakwaan skandal rasuah yang dikaitkan dengan beberapa pemimpin kerajaan di negeri itu

Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin menerusi satu kenyataan pada Ahad berkata kerajaan MADANI tetap tegas dalam membenteras rasuah dan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat.

Namun berharap kestabilan politik di negeri itu dikekalkan supaya usaha membangunkan Sabah dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar

“Seperti yang semua sedia maklum, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telahpun memulakan siasatan dan telah memanggil beberapa pihak.

“Pihak berkuasa dan institusi mahkamah bebas melaksanakan siasatan dan pengadilan sewajarnya. Oleh itu biarlah Kerajaan Negeri berfungsi seperti biasa agar perancangan dan pelaksanaan projek kebajikan rakyat dapat berjalan lancar.

“KEADILAN Sabah menggesa agar semua pihak memberi kerjasama yang baik dan sekiranya ada sebarang pelanggaran undang-undang maka mereka yang bersalah mesti dibawa ke muka pengadilan,” katanya Timbalan Ketua Penerangan Pusat itu.

Selasa lalu, seorang pemberi maklumat telah mendedahkan tujuh video yang mengaitkan beberapa Adun Sabah dalam perbincangan berkaitan rasuah sebagai pertukaran untuk menyokong permohonan lesen prospek sumber mineral oleh pemberi maklumat itu.

Pendedahan ini menyusul selepas empat video lain yang didakwa memaparkan perbincangan tersebut didedahkan bulan lalu, dengan dua daripada klip itu tidak lengkap.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki pada Sabtu mengulangi jaminannya untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus terhadap perkara itu.

BACA LAGI: Hilang percaya terhadap Annuar Musa, Muafakat Nasional Sabah umum bubar

Sementara itu Razeef menegaskan, kestabilan politik amat kritikal untuk mewujudkan ekosistem pertumbuhan ekonomi dan menarik keyakinan pelabur.

Justeru beliau yakin pengundi di negeri ini bijak dan akan memilih pimpinan yang berintegriti pada pilihan raya akan datang.

“Biarlah mereka memilih secara demokrasi,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button