Anwar

Siapa Ganti Anwar? Mungkin Lagi Teruk – Pendakwah Terkemuka

PETALING JAYA, 20 Julai 2025 – Pendakwah terkenal, Dato’ Dr. Danial Zainal Abidin memberi amaran agar rakyat tidak terlalu mudah menyambut naratif yang cuba menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tanpa memikirkan akibat dan siapa penggantinya.

Dalam satu ceramah yang kini tular di media sosial, beliau membidas sikap segelintir pihak yang kelihatan terlalu ghairah mahu melihat kejatuhan Anwar, seolah-olah yakin bahawa pengganti beliau pasti akan lebih baik.

“Kamu seronok sangat bila ada artikel bertajuk ‘The Beginning of The End of Anwar’. Tapi saya nak tanya — siapa ganti Anwar? Belum tentu lebih baik. Mungkin lebih teruk. Mungkin lebih haru-biru.”

Dr. Danial turut menyatakan bahawa walaupun Anwar bukan pemimpin yang sempurna, namun beliau menunjukkan komitmen dalam membawa dasar yang membina, termasuk dalam usaha membasmi kemiskinan tegar dan memulihkan kedudukan ekonomi negara.

Beliau memetik beberapa pencapaian yang telah direkodkan sejak Anwar mengambil alih pentadbiran negara, antaranya kejayaan menghapuskan 66 peratus kadar miskin tegar sehingga Oktober 2024, dan sifar miskin tegar di beberapa negeri seperti Melaka dan Pulau Pinang menjelang hujung tahun itu.

Selain itu, Dr. Danial turut menyentuh prestasi ekonomi negara yang menunjukkan pemulihan, termasuk penurunan defisit fiskal kepada RM21 bilion serta pengukuhan nilai ringgit kepada RM4.25 berbanding dolar Amerika Syarikat.

“Itu semua bukan retorik. Itu usaha yang ada hasil. Jadi kenapa nak jatuhkan sekarang? Berilah peluang dia habiskan penggal. Lepas itu kita nilai dengan adil.”

Dalam nada yang lebih lunak namun berprinsip, beliau turut menyatakan bahawa sokongannya terhadap Anwar adalah sokongan bersyarat, bukan taksub atau fanatik.

“Kalau dia buat baik, saya sokong. Kalau dia buat tak baik, saya tak sokong. Itu prinsip saya.”

Mengakhiri ceramahnya, Dr. Danial menegaskan bahawa beliau tidak mendoakan kejatuhan Anwar seperti yang dilakukan sesetengah pihak. Sebaliknya, beliau berdoa agar Perdana Menteri itu diberikan kekuatan dan petunjuk untuk terus membawa Malaysia ke arah yang lebih baik.

“Saya tidak doakan kejatuhan Anwar. Saya doakan kebaikan untuk beliau dan negara. Itu yang agama ajar kita – doakan pemimpin yang berusaha buat baik.”

Related Articles

Back to top button