Nasional

JKKMAR kini dikenali sebagai JKKTN, lebih tegas bendung penyelewengan

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis membuat ketetapan untuk memperkukuh usaha membenteras rasuah dan salah guna kuasa.

Antara disentuh pada mesyuarat itu adalah satus pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 serta hala tuju pemerkasaan inisiatif-inisiatif antirasuah lain selaras dengan Perkara 5 dalam United Nations Convention Against Corruption (UNCAC).

Dapatan dari mesyuarat itu adalah kerajaan bersetuju meneruskan kesinambungan NACP dengan satu lagi strategi baharu di peringkat nasional dikenali sebagai Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) akan dilaksana bagi mencapai objektif membenteras rasuah.

Pada masa sama, PMO turut menegaskan jawatankuasa memandang serius berhubung isu pengeluaran “surat sokongan” oleh anggota pentadbiran untuk “urusan kerajaan” yang mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa yang boleh menjejaskan imej pentadbiran kerajaan.

Sehubungan itu, satu Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam Urusan Kerajaan akan dikeluarkan bagi memastikan “surat sokongan” tidak disalah guna bagi tujuan kepentingan peribadi.

“Satu Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam Urusan Kerajaan akan dikeluarkan bagi memastikan surat sokongan tidak disalah guna bagi tujuan kepentingan peribadi.”kata PMO.

PMO turut memaklumkan, jawatankuasa akan mengkaji semula had bilangan lembaga pengarah yang boleh dianggotai oleh seseorang penjawat awam, termasuk badan berkanun, subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan.

Selain itu, Jawatankuasa Khas itu kini akan dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN).

“JKKTN akan diperkasa untuk meneliti isu-isu kelemahan tata kelola melibatkan badan berkanun termasuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA), subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan,” kata kenyataan tersebut.

Related Articles

Back to top button