Kerajaan Madani umum gaji minimum sektor swasta RM3,000

Kerajaan Madani umum gaji minimum sektor swasta RM3,000
Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani mengumumkan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu sebanyak RM3,000 bagi sektor swasta.
Menerusi ucapan pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan itu adalah sebagai langkah memperkukuh kesejahteraan pekerja dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Tapi itulah komitmen kita, untuk syarikat kerajaan, swasta, kita putuskan gaji minima RM3,000.
“Syarikat-syarikat besar milik kerajaan ini pada mulanya bangkitkan kebimbangan, keresahan tapi akhirnya dilaksanakan dan alhamdulillah, masih mencatat keuntungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sebelum menyempurnakan Sambutan Hari Pekerja 2026 peringkat kebangsaan di Unifi Arena, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa usaha menaikkan kadar gaji minimum sebelum ini sering berdepan pelbagai cabaran, termasuk kebimbangan daripada pihak syarikat besar yang mendakwa peningkatan tersebut akan menjejaskan kemampuan kewangan mereka.
“Ketika cadangan menaikkan gaji daripada RM1,200 ke RM1,500 dikemukakan, pelbagai masalah dibangkitkan.
“Ada yang mengatakan syarikat tidak mampu dan akan terkesan sekiranya gaji dinaikkan walaupun sedikit,” ujarnya.
Menurut beliau, Kerajaan Madani tetap komited melaksanakan kenaikan secara berperingkat, termasuk peningkatan kepada RM1,700, walaupun menyedari jumlah itu masih belum mencukupi bagi menampung kos sara hidup semasa.
Pada masa yang sama, Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa pelaksanaan gaji minimum RM3,000 sebelum ini telah dimulakan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang pada awalnya turut menyuarakan kebimbangan.
“Namun akhirnya ia berjaya dilaksanakan dan syarikat-syarikat terbabit masih mencatatkan keuntungan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Kerajaan Madani kini bersedia memperluaskan pelaksanaan kadar gaji minimum tersebut ke sektor swasta sebagai sebahagian daripada komitmen memastikan pendapatan lebih adil dan mampan untuk rakyat.



