Pilihanraya

Kekalkan N9 sebagai deposit tetap Kerajaan Madani – Mohamad Hasan

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa rakyat Negeri Sembilan mengekalkan rekod tiada wakil Perikatan Nasional (PN) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Harapan itu dinyatakan Mohamad Hasan pada pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Sembilan di Port Dickson malam tadi.

Dalam ucapannya juga Menteri Pertahanan itu menyeru agar rakyat di negeri itu memberi mesej jelas menyokong pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,

“Parlimen tiada satupun wakil dari PN. Dewan Negeri tiada satu pun wakil PN. Kekalkan rekod ini.

“Kita beri mesej jelas kepada Perdana Menteri bahawa Negeri Sembilan adalah deposit tetap kepada Kerajaan Madani. Ini akan jadi rangsangan untuk Kerajaan Pusat membantu Negeri Sembilan,” katanya.

Turut hadir pada pelancaran itu adalah Perdana Menteri dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu dalam ucapan beberapa pemimpin kedua-dua parti di hadapan ribuan penyokong, mereka menyatakan rasa optimis dengan peluang gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk terus mengekalkan Negeri Sembilan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman antara yang menyatakan keyakinan untuk PH-BN menang semua kerusi di negeri tersebut.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun turut yakin dengan melaungkan “Monang” dan kemudian penyokong menyambutnya dengan “Bosar”.

Related Articles

Back to top button