NETR dapat pujian, KJ yakin dengan formula Rafizi
Langkah kerajaan memperkenal Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa Pertama yang dilancarkan pada 27 Julai lalu mendapat pujian bekas pemimpin Umno.
Bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin menyifatkan pelan hala tuju berkenaan adalah salah satu langkah positif dan tepat yang diambil Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Shahril ketika mengulas pelan yang diharap dapat mengubah ekonomi negara itu berkata, antara elemen yang menarik perhatiannya adalah kesepaduan yang melibatkan entiti atau pemegang modal tertentu.
“Anda (Rafizi) dapat 10 projek pemangkin, anda mendapat semua pelaburan ini dan sebagainya, yang saya tertarik dan (merasakan perkara itu) bagus, ada kesepaduan membabitkan entiti.
“Kerajaan ataupun identiti nasional, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan sebagainya, misalnya Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan UEM untuk loji janakuasa solar,” katanya menerusi Program Keluar Sekejap.
Rafizi sebelum ini berkata, pelancaran NETR menandakan perubahan penting dalam pemikiran dan ia bukan saja dokumen yang mengandungi langkah sementara untuk memenuhi sasaran sifar bersih negara, tetapi ia adalah gabungan strategi dan inisiatif yang boleh mengubah ekonomi, mata pencarian dan kedudukan negara di dunia.
Sementara itu, Khairy Jamaluddin turut menyifatkan pelan tersebut merupakan satu usaha yang perlu diberikan pujian.
“Ini Rafizi yang saya kenal, kawan saya. Ramai yang ejek dia, kata dia Raja Formula dan sebagainya, tetapi dia buat apa yang dia mampu buat dengan baik, well done,” ujarnya.
Tambah Khairy, dengan adanya pelan tersebut, pihak pelabur akan lebih yakin untuk membuat pelaburan dalam agensi tertentu.
“Capital owners tahu dia nak melabur di mana, bila diumumkan begini, kerajaan akan double down dalam 10 inisatif ini, maksudnya orang pun beranilah untuk keluarkan pelaburan itu, ini yang dimaksudkan dulu.
“Sekarang bukan hanya Sime props, UEM atau Khazanah akan melabur, tapi kita juga akan melihat semua syarikat yang mengendalikan perkhidmatan kejuruteraan untuk solar ini, juga akan dapat peluang,” ujarnya.