Mahkamah tolak saman Santhara terhadap P Prabakaran dengan kos
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat menolak saman fitnah bekas timbalan menteri wilayah persekutuan Edmund Santhara terhadap Ahli Parlimen Batu P Prabakaran.
Hakim Mahkamah Sesyen, Zulqarnain Hassan ketika membuat keputusan itu memutuskan bahawa ahli parlimen PKR itu membuat ulasan yang adil mengenai penginapan sementara Santhara yang merupakan bekas ketua Sayap Bersekutu parti Bersatu di New Zealand dari akhir 2020 hingga awal 2021.
“Defendan (Prabakaran) adalah seorang wakil rakyat yang mempunyai amanah untuk menyuarakan isu awam. Defendan mempertikai cuti plaintif (Santhara) selama 55 hari ke New Zealand sedangkan ia berlaku semasa sekatan pergerakan pada tempoh Covid-19.
“Pada hemat mahkamah, isu ada sekatan pergerakan dan seorang Timbalan Menteri dapat bercuti adalah isu awam. Defendan mempertikai perbuatan plaintif bukan kerana plaintif adalah Datuk Seri Dr. Santhara Kumar Ail Ramanaidu tetapi kerana plaintif adalah seorang Timbalan Menteri.
“Apatah lagi pasa masa tersebut Parlimen digantung kerana ada darurat. Justeru mahkamah mendapati tuntutan fitnah tidak boleh dipertahan,” jelas Zulqarnain.
Sehubungan itu, mahkamah menolak saman fitnah itu dengan kos sebanyak RM18,000.
Pada 23 Jun 2021, Santhara telah memfailkan saman terhadap Prabakaran kerana didakwa telah mengeluarkan kata-kata fitnah berhubung lawatannya ke New Zealand pada 2020.
Tuntutan saman itu adalah berkenaan kenyataan yang dibuat Prabakaran ketika sidang media pada 17 Mac dan 28 Mei.
Pada 17 Mac, Prabakaran antara lain menggesa Pesuruhjaya Tinggi New Zealand supaya mengekstradisi segera Santhara kembali ke Malaysia sekiranya dia melanggar undang-undang negara itu.
Prabakaran dalam pembelaannya berkata kenyataannya dalam sidang media tersebut adalah adil dan mempunyai kepentingan awam sesuai dengan tugasnya sebagai ahli parlimen untuk membangkitkan isu-isu yang memberi kesan kepada rakyat.
Sementara itu, Prabakaran melalui kenyataan akhbarnya menzahirkan rasa syukur kerana saman fitnah tersebut ditolak oleh makamah.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada barisan peguam bela, barisan saksi terutamanya Datuk Seri Najib Tun Razak, Senator Isaiah D. Jacob dan individu yang terlibat sama ada secara langsung mahu pun tidak dalam kes ini,” katanya.