Wakil rakyat Simpang Jeram mahu santuni golongan muda
ADUN Simpang Jeram yang baru dipilih, Nazri Abdul Rahman tekad mahu mendekati golongan muda di kawasan itu.
Nazri ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan mesra sekitar Jalan Sakeh dan Batu 3 Bakri semalam berkata, ia akan menjadi tugas pertamanya sebaik selesai mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat kawasan itu.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau menjelaskan langkah mendekati golongan tersebut adalah bertujuan memberi kesedaran mengenai hak mengundi memandangkan tidak ramai anak muda dilihat keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu lalu.
Selain itu beliau turut merancang menyatukan anak muda kawasan berkenaan melalui acara sukan dan rekreasi melibatkan pelbagai kaum.
“Kita di sini (DUN Simpang Jeram) juga akan berbincang dengan kerajaan negeri bagi melaksanakan program yang sesuai terutama bagi mereka yang pertama kali mengundi iaitu pengundi 18 tahun.
“Pemahaman kepada golongan muda ini untuk mengundi dan memilih pemimpin yang mampu bekerja untuk mereka adalah satu perkara yang penting,” katanya.
Nazri yang juga timbalan ketua Amanah Bakri memenangi kerusi DUN Simpang Jeram dengan majoriti undi 3,514 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional Mohd Mazri Yahya dan calon bebas S Jegananthan.