KPDN ingatkan peniaga untuk tidak ambil kesempatan naikkan harga ayam
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengingatkan peniaga ayam tidak mengambil kesempatan menaikkan harga selepas harga ayam diapungkan pada 1 November lalu.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, tindakan menaikkan harga yang tidak munasabah akan menyebabkan mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Katanya, ia susulan sebanyak 34 notis dikeluarkan kementerian itu kepada peniaga ayam di Terengganu yang menjual pada harga antara RM10.50 dan RM11 sekilogram dari 1 November sehingga semalam.
“Sejak harga ayam diapungkan, Terengganu merekodkan harga ayam tinggi berbanding di negeri lain.
“Namun, sebaik notis dikeluarkan bagi mendapatkan penjelasan kenaikan harga itu, mereka kemudiannya menurunkan harga bawah RM9.50 sekilogram dan harganya kini stabil.
“Sebenarnya walaupun harga diapungkan, jika peniaga didapati mengambil keuntungan berlebihan, KPDN boleh mengambil tindakan.
“Ini kerana KPDN boleh mengetahui dan mengira harga peringkat pemborong, pengeluar, anak ayam, makanan ayam dan proses,” katanya pada sidang media selepas melakukan pemantauan harga di sebuah pasar raya di Kuantan, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Fuziah berkata, seramai 2,200 anggota penguat kuasa KPDN dan 900 pegawai pemantau harga ditugaskan di lokasi strategik di seluruh negara
Katanya, mereka ditugaskan untuk memantau harga, khususnya melalui Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi perayaan Deepavali.
“Dengan adanya pegawai dan anggota ini, ia membolehkan pemantauan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil jika berlaku ketidakpatuhan.” katanya.