Komitmen pegawai Wisma Putra membanggakan saya – PM
KERAJAAN Perpaduan akan meningkatkan peranan Malaysia dalam hal ehwal antarabangsa khususnya dengan negara jiran di ASEAN, serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan masyarakat antarabangsa.
PM zahir penghargaan dan rasa bangga |
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pada majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, dalam mencapai aspirasi itu negara memerlukan tenaga profesional yang kompeten di Kementerian Luar.
Brdasarkan pengalamannya yang terhad sejak mula berkhidmat untuk negara enam bulan lalu dan lawatan ke beberapa negara, beliau yakin aspirasi itu mampu dicapai melalui komitmen berterusan yang ditunjukkan oleh pegawai kementerian.
“Saya cukup gembira atas gerak kerja anda di Wisma Putra begitu profesional dan begitu juga petugas di kedutaan kita yang sentiasa efisien serta amat dedikasi,”
“Anda membuat saya bangga dengan cara anda bekerja, anda menyelesaikannya, anda menyediakan nota kadangkala terlalu banyak untuk saya cerna, tetapi kerja yang melelahkan itu menghasilkan laporan komprehensif dan tahap kecekapan luar biasa,” jelasnya.
Anwar ketika berucap turut mengimbau lawatannya pertama ke luar negara setelah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 dengan bertemu Presiden Indonesia, Joko Widodo di Jakarta pada 8 dan 10 Januari lalu yang merupakan tradisi diamalkan kesemua pemimpin negara ini sejak merdeka.
Ini diikuti dengan lawatan ke Brunei dari 24 dan 25 Januari menghadap Sultan Hassanal Bolkiah sebelum ke Singapura pada 30 Januari, Thailand (9 hingga 10 Februari), Filipina (1 hingga 2 Mac), Arab Saudi (22 hingga 24 Mac) Kemboja (27 Mac) dan China (29 Mac hingga 1 April).
Perdana Menteri turut mengimbau lawatan mengejut ke Turkiye dari 14 hingga 15 Februari ekoran tragedi bencana gempa melanda negara itu.
“Saya telah melawat seperti yang anda tahu China, Kemboja, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand dan Filipina, dan Turkiye semasa gempa bumi dan saya mesti mengatakan bahawa saya bangga dapat bertemu dengan pegawai Kementerian Luar, kedutaan.
“Mereka telah memikul tugas ini dengan sangat serius untuk berkhidmat kepada negara kita,” katanya optimis dengan khidmat dicurahkan setiap staf di kementerian itu yang berjaya mempromosikan imej Malaysia Madani di seluruh dunia.